Benarkah Solat Tasbih Menghapuskan Sekelian Dosa?





BENARKAH SOLAT TASBIH MENGHAPUSKAN SEKELIAN DOSA?

SOALAN :

Ada sebuah hadith menyebut jika kita lakukan solat sunat tasbih maka akan diampunkan sekelian dosa yang telah kita lakukan samada dosa yang besar atau yang kecil.

Apa yang saya belajar ialah dosa besar mesti dengan bertaubat.

Mohon penjelasan dari ustaz.

JAWAPAN :

Ada diriwayatkan sebuah hadith daripada Ibnu Abbas r.a. katannya Rasulullah saw telah menceritakan fadhilat solat sunat tasbih dengan sabdanya :

إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ، غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، قَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ، خَطَأَهُ وَعَمْدَهُ، صَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ، سِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ

Artinya : “Apabila kamu lakukan yang demikian itu nescaya Allah akan mengampunkan bagi kamu dosa kamu yang awal dan yang akhir dan yang dahulu dan yang baharu dan dosa yang kamu tersalah atau sengaja samada dosa kecil atau besar dan samada dosa yang kamu lakukan secara sembunyi dan yang terang-terangan.” (Hadith Abu Daud)

Jumhur ulamak berpendapat jika terdapat hadith yang menjanjikan hapus dosa jika melakukan sesuatu amalan seperti solat dan puasa dan sedekah dan lainnya maksudnya ialah dosa-dosa kecil.

Ada pun dosa yang besar maka mestilah dengan bertaubat.

Maka ditanggungkan maksud hapus dosa besar dan dosa kecil dalam hadith solat tasbih ini akan makna orang yang melakukan solat tasbih itu mengiringinya dengan bertaubat kepada Allah.

Berkata Syeikh Syed Muhammad Al-Maliki :

يدل بظاهره على ان الكبائر تغفر بمجرد فعل هذه الصلاة. وهو محمول على ما اذا اقترنت ببقية شروط التوبة من الاستغفار والندم والعزم على عدم العود

Artinya : “Menunjuk dengan zahir hadith ini atas sungguhnya sekelian dosa besar diampunkan dengan hanya menunaikan solat ini. Ia ditanggungkan atas apabila melakukan bersama solat ini akan segala syarat-syarat taubat yaitu istighfar dan menyesal dan berazam atas tidak mengulangi dosa.” (Kitab Syaraful Ummah)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus